PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan sebanyak 89 projek perumahan swasta bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 82 projek perumahan swasta sakit berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan selain tujuh projek sakit kembali lancar.
“Secara keseluruhan, sebanyak 89 projek telah berjaya dipulihkan dengan nilai GDV bagi 89 projek perumahan swasta yang berjaya adalah RM6.48 bilion.
“Bagi projek perumahan swasta terbengkalai, tiada projek yang berjaya dikeluarkan daripada senarai setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Selain itu, KPKT turut menjangkakan sebahagian besar pemulihan projek-projek yang dilaksanakan dibawah Inisiatif Belanjawan 2023 akan berjaya memperoleh CFO/CCC pada tahun ini.
Ia melibatkan 13 projek di mana tiga projek dijangka pada suku tahun pertama, lapan projek pada suku tahun kedua serta masing-masing satu projek pada suku tahun ketiga
dan suku tahun keempat tahun 2025
Aiman Athirah berkata, sehingga 28 Februari lalu,TFST telah mengesan dan memantau 230 projek perumahan swasta lewat, 347 projek perumahan swasta sakit dan 116 projek perumahan swasta terbengkalai.
“Jumlah ini menunjukkan terdapat pengurangan bagi bilangan projek perumahan sakit, namun terdapat sedikit peningkatan bagi bilangan projek perumahan lewat.
“Bilangan projek perumahan terbengkalai juga bertambah dan terdapat tiga projek mperumahan swasta telah disahkan terbengkalai pada Januari 2025 melibatkan negeri Selangor, Terengganu dan Pahang,” katanya.
Kesemua projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai itu melibatkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM107.04 bilion.
“Bagi memenuhi obligasi sosial KPKT, beberapa projek perumahan swasta terbengkalai menggunakan peruntukan pembangunan pada tahun 2025 dengan kerjasama agensi pelaksana di peringkat negeri akan terus dipergiatkan.
“KPKT juga akan memohon agar peruntukan ini dapat dipertimbangkan lagi bagi projek-projek yang menepati kriteria pada tahun 2026 kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE