KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan kolaborasi bersama kedutaan dan pemain industri adalah penting dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) kepada orang ramai terutama para pelancong.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata, promosi itu selaras dengan visi Kerajaan Madani dalam memastikan TMM2026 dapat menjamin pertumbuhan dua hala yang seimbang.
“Selain daripada menyambut bulan Ramadan, majlis iftar ini juga merupakan satu usaha untuk mengukuhkan kerjasama, memperluaskan rangkaian, khususnya dalam mengeratkan hubungan dua hala.
“Melalui kolaborasi, kita dapat memperkukuhkan sektor perdagangan sambil meningkatkan industri pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis ‘Ramadan Iftar Evening’ anjuran MOTAC di sini hari ini.
Tambahnya, acara pada malam ini turut menyediakan platform perbincangan secara terbuka selain memperkukuhkan jalinan perniagaan dan usaha sama dalam memperkasakan industri pelancongan Malaysia.
Terdahulu, King Sing berkata, Kempen TMM2026 dilaksanakan dengan berteraskan dua tonggak utama iaitu Pelancongan Berimpak Tinggi dan Pelancongan Mampan.
Jelasnya, kempen itu menekankan usaha menawarkan pengalaman pelancongan yang bermakna sambil memastikan khazanah unik negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE