fbpx

Khabar kematian papa saya 100 peratus palsu – Anak Rahim Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Didakwa meninggal dunia, anak kepada seniman Datuk Rahim Razali, Nadia Rahim mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat pada usia 86 tahun, sekali gus menepis berita palsu yang tular itu.

Nadia, 53, berkata, khabar tiada asas tersebut sengaja disebarkan beberapa platform laman sosial yang membuatkan orang ramai salah sangka.

“Kepada semua rakan-rakan dan keluarga, khabar angin mengenai kematian papa saya telah menular dengan begitu banyak di beberapa platfrom kononnya ‘portal berita’.

“Saya mohon anda semua tidak meletakkan kepercayaan terhadapnya kerana khabar itu 100 peratus adalah palsu,” katanya dalam hantaran di Threads.

Pada hantaran sama, Nadia berharap semua pihak berhenti menyebarkan berita palsu yang menjejaskan emosi keluarganya.

“Berhenti menyebarkan kenyataan yang salah kerana telah menyebabkan ada kalangan keluarga saya baik dari sebelah papa (ayah) mahu pun ibu bersedih.

“Papa saya ada di rumah bersama kami. Masih hidup dan sihat, syukur Alhamdulillah,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut dan peminat pengarah dan pengulas sukan berpengalaman itu mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

Terdahulu, khabar angin mengenai pemergian Rahim menjadi topik perbincangan ramai di beberapa platform media sosial.

Perkara tersebut bukan hanya menjejaskan perasaan terkilan ahli keluarga dan kenalan, malah mencetuskan kejutan dalam kalangan netizen apabila ada yang mempercayai dakwaan berkenaan.

Jahat sungguh, bulan puasa pun nak fitnah orang. Semoga Datuk Rahim terus sihat,” tulis seorang peminat.

“Kenapalah ada manusia macam ini? Semoga Datuk terus dipanjangkan usia,” kata seorang netizen.

Rahim yang mula bergiat aktif dalam arena lakonan sejak 1960 pernah menjadi pengulas Sukan Olimpik yang disiarkan RTM sebanyak lima kali dan Bola Sepak Piala Dunia sebanyak enam kali.

Antara filem arahan Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 itu adalah Abang (1981); Pemburu (1982); Matinya Seorang Patriot (1984); Tsu Feh Sofiah (1985); Puteri (1987); Anak Sarawak (1989); Rentak Desa (1990) dan Abang 1992 (1993). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI