BUENOS AIRES – Juara bertahan, Argentina mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah juara lima kali, Brazil 4-1 di Estadio Monumental pagi tadi.
Kemaraan itu juga dibantu oleh keputusan seri yang dicatatkan oleh Uruguay dan Bolivia, namun pengendali Argentina, Lionel Scaloni melihat kejayaan tersebut diraih secara kolektif.
“Ini adalah kemenangan secara kolektif kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan itulah juga sebab kami mampu merapatkan jurang kualiti dengan Brazil. Kami percaya kami bermain dengan baik dan paling penting kami memahami kepentingan perlawanan.
“Ada ketika kami bergelut dan ada juga perlawanan kami berjaya mengharunginya tanpa masalah. Kami perlu tunjukkan bahawa kami mampu bermain dalam keadaan berbeza.
“Tiada siapa yang tahu berapa lama kejayaan ini akan bertahan tetapi yang penting kami sedang menikmatinya. Saya harap kami mampu bertahan dengan kualiti seperti ini dengan lebih lama,” katanya.
Empat gol Argentina dalam aksi itu diperoleh menerusi Julian Alvarez, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister dan Guiliano Simeone, manakala jaringan tunggal Brazil dijaringkan oleh Mattheus Cunha. – AGENSI