TEHRAN – Pasukan Iran membuktikan status selaku gergasi benua Asia selepas mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico tahun depan.
Skuad Iran mengesahkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A dengan meraih keputusan seri 2-2 ketika bertemu dengan Uzbekistan pada aksi di Stadium Azadi awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Team Melli terpaksa bekerja keras dengan penyerang Inter Milan, Mehdi Taremi muncul wira apabila meledak dua gol manakala Khojimat Erkinov dan Abbosbek Fayzullaev menjaringkan gol buat pasukan pelawat.
Kapten Iran, Alireza Jahanbakhsh mengakui sokongan padu yang diberikan oleh puluhan ribu penyokong berjaya menaikkan semangat pemain untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata berharga.
“Kita berjaya bangkit daripada ketinggalan kerana pemain sedar keputusan seri sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan pasukan. Ini adalah hadiah buat penyokong setia kami yang hadir ke stadium kali ini,” katanya. – AGENSI