fbpx

Hans Isaac kembali terajui Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selepas dilantik sebagai Pengerusi baharu agensi itu.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 54, secara rasmi memulakan tugas pada Rabu, menggantikan Datuk Kamil Othman yang menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari lalu.

Pengumuman rasmi dibuat menerusi kenyataan Finas di Instagram.

“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Finas berkuat kuasa 26 Mac 2025,” jelas kenyataan tersebut.

Pelantikan ini bukan kali pertama buat Hans, sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan sama dari April 2019 hingga Mei 2020 sebelum melepaskannya susulan perubahan politik ketika itu.

Mengulas mengenai pelantikan semula, pelakon Cuci itu mengakui cabaran mengemudi Finas bukan mudah, namun tetap bersedia menggalas tanggungjawab besar itu demi industri seni tanah air.

“Penggal berkhidmat di Perbadanan Stadium Malaysia telah pun berakhir. Kini saya akan melangkah ke dalam industri yang berjaya melonjakkan nama saya ke suatu peringkat.

“Pernah menjawat sebagai Pengerusi Finas dan terpaksa melepaskan jawatan selepas berlakunya ketidakseimbangan politik, Langkah Sheraton. Berbagai manifesto ingin saya laksanakan dalam industri seni, selain mengangkat pejuang belakang tabir agar menerima kesamaan setanding keringat mereka.

“Kini, saya kembali memegang amanah sebagai Pengerusi Finas bagi penggal baharu. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil atas kepercayaan untuk saya melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya dalam Instagram.

Sebagai figura yang berpengalaman dalam industri kreatif, Hans dikenali bukan sahaja sebagai pelakon, malah sebagai pengarah dan penerbit prolifik.

Namanya mula bersinar sekitar tahun 1995 menerusi filem Ringgit Kasorrga, sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri dengan karya popular seperti Buli Balik, Baik Punya Cilok, Langgar dan Qabil Khushry Qabil Igam.

Selain dunia perfileman, Hans turut aktif dalam pementasan teater dan drama televisyen.

Keputusan melantiknya semula sebagai Pengerusi Finas diharap dapat memberi nafas baharu kepada industri seni negara.

Dengan pelantikan ini, tumpuan kini terarah kepada langkah yang bakal diambil Hans dalam mengemudi Finas ke arah masa depan lebih progresif dan berdaya saing. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI