PETALING JAYA – Seorang lelaki mencetuskan perbincangan hangat di media sosial apabila mengakui menggunakan ilmu pengasih untuk memikat wanita yang kini menjadi isteri keduanya.
Dalam satu hantaran yang tular di Facebook, lelaki berkenaan mendakwa dia tidak berniat untuk menganiaya isterinya, namun berasa serba salah kerana menyembunyikan perkara sebenar.
Menurut pengakuannya, dia mendapatkan bantuan seorang perawat Islam bagi menggunakan kaedah pengasih agar wanita tersebut jatuh cinta kepadanya.
“Niat saya baik tak ada nak aniaya dia. Cuma saya dapatkan dia dengan cara mungkin tak elok, saya minta tolong perawat Islam untuk buatkn pengasih supaya dia suka, cinta saya.
“Memang berkesan dan kami dah khawin empat bulan. Saya nak beritahu dia perkara sebenar tapi saya takut. Ada nasihat apa perlu saya buat?,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki itu kini dihantui rasa bersalah kerana tidak pernah menceritakan kepada isterinya tentang kaedah yang digunakan untuk memikat wanita tersebut sebeluk ini.
Dia mengakui ingin berterus terang, tetapi takut akan reaksi isterinya sekiranya kebenaran terbongkar.
“Saya bukan jumpa bomoh, itu syirik, saya tahu,” katanya, menegaskan bahawa kaedah yang digunakan adalah melalui perawat Islam dan bukan amalan khurafat.
Pengakuan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-ratanya meminta dia segera berterus terang demi kejujuran dalam rumah tangga, selain melakukan solat taubat.
“Jujur dengan isteri, kalau terus menipu macam ini rumah tangga tak kekal lama, kesian isteri seperti mainan yang diguna-gunakan,” tegur Ayash.
“Bila dah nama cara yang tak elok, itu bukan guna perawat Islam. Islam agama yang baik dan selamat. Bila guna cara salah, sah-sah bukan cara Islam. Seeloknya bertaubat dulu, takut cara yang digunakan ada unsur syirik atau khurafat, tanpa kita mengetahuinya. Wallahualam,” kata Nurul Ain.
Bagaimanapun, sebahagian yang lain mengecam tindakannya menggunakan ilmu pengasih sebagai cara mendapatkan pasangan. – KOSMO! ONLINE