KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi tempoh sebulan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyediakan pelan dan hala tuju baharu untuk memastikan agensi itu terus berdaya saing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga bagi membolehkan Felda serta semua agensi dan anak syarikatnya untuk membuat keuntungan.
Jelasnya, pelan terbabit juga akan menjadi persediaan berdepan kemungkinan keadaan lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun unjuran permintaan sawit ketika ini berada pada tahap lebih baik.
“Dalam keadaan geopolitik tidak menentu ini, kita harus siapkan diri untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar.
“Saya beri tempoh satu bulan untk pengurusan kemukakan, pastikan ada (penglibatan) Tan Sri Wahid, pakar-pakar, pastikan seluruh kekuatan jentera baik kerajaan untuk pastikan kita puas hati dengan pendekatan baru hala tuju baru supaya dalam masa singkat, kita beri keyakinan kepada ratusan ribu peneroka, kita sekarang dah sampai tahap lonjakan itu amat perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri yang turut dihadiri oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Menara Felda di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga telah berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan nilai eksport produk sawit ke luar negara menerusi beberapa siri lawatan sebelum ini.
“Malah saya berbincang dengan Presiden China Xi Jiping untuk mengimport sawit dari Malaysia.
“Saya juga minta Arab Saudi untuk pertingkatkan jumlah import sawit kita juga. Apabila permintaan naik harga juga naik, jadi itu tugas dan pimpinan kerajaan iaitu menambah baik permintaan,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE