BANGI – Sepantas 20 saat. Itu masa yang diambil bagi kit ujian biosensor untuk mengesan dadah atau bahan terlarang di dalam sampel urin secara lebih tepat.
Berbeza dengan sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari bagi menjalankan proses pengesanan dadah di dalam sampel urin suspek.
Ujian biosensor tersebut merupakan salah satu pelaksanaan hasil usaha sama strategik antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, usahasama ini merupakan langkah pertama dilaksanakan di peringkat nasional, malah juga di peringkat antarabangsa.
Ujarnya, fokus utama inisiatif ini ialah menjalankan penyelidikan saintifik berhubung bahan-bahan terlarang, termasuk dadah psikoaktif baharu serta usaha penghasilan dadah secara haram di dalam negara.
“Sebanyak enam pakej kerja dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan.
“Antara fokus utama adalah pembangunan strip ujian biosensor, pangkalan data forensik molekul dan analisis residu dadah dalam sistem kumbahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara PDRM dan UKM.
Tambah Ayob Khan, kerjasama ini memberi impak besar dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara sekali gus meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti ancaman dadah dengan pendekatan saintifik.
“Program ini turut membuka ruang kerjasama antarabangsa yang lebih strategik, terutamanya dengan agensi seperti Interpol dan United United Nations Office on Drugs and Crime, dalam menangani jenayah narkotik rentas sempadan,” katanya.
Seramai sembilan pegawai kanan JSJN dipilih untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM.
Kesemua pegawai diberi tanggungjawab sebagai pusat rujukan utama dan bakal diiktiraf sebagai pakar rujuk subjek (Subject Matter Expert, SME) dalam bidang narkotik.
Ayob Khan berkata, satu Jawatankuasa Pemandu turut ditubuhkan bagi memantau keberkesanan program ini dan beliau diberi amanah untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, Kementerian Dalam Negeri turut meluluskan RM8.4 juta manakala RM2.4 juta telah disalurkan bagi pelaksaaan program ini.
Katanya, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, PDRM juga ingin memohon dana tambahan berjumlah RM 80 juta. – KOSMO! ONLINE