RIYADH – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa dia akan berkahwin dengan pasangannya, Georgina Rodriguez tetapi sedang menunggu masa yang sesuai, lapor portal berita VNExpress semalam.
Ronaldo, 40, dan Rodriguez, 29, telah bersama sejak 2016. Mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Ronaldo menjawab spekulasi bertahun-tahun mengenai hubungannya dengan Rodriguez.
“Perkahwinan memang ada dalam perancangan tetapi ia akan berlaku pada masa yang tepat.
“Saya 1,000 peratus yakin bahawa perkahwinan itu akan berlaku. Namun, saya sedang menunggu detik sempurna yang disebut sebagai ‘klik’,” kata Ronaldo.
Ronaldo turut menjelaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar satu formaliti.
Dia mahu detik istimewa tersebut berlangsung secara semula jadi tanpa tekanan, jangkaan atau tarikh akhir.
Jawapan Ronaldo sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat, lebih-lebih lagi apabila dia dan Rodriguez sudah menjalinkan hubungan selama bertahun-tahun. – AGENSI