LONDON – Pemilik Chelsea, Todd Boehly mengesahkan hasrat untuk membina stadium baharu bagi kelab itu, tetapi mengakui perancangan tersebut boleh mencetuskan perpecahan dalam kumpulan pemilikan.
Masa depan Stamford Bridge menjadi isu utama sejak Boehly mengambil alih Chelsea pada 2022 apabila stadium berkapasiti 40,000 tempat duduk itu berada di kedudukan kesembilan terbesar Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal dipintas oleh stadium baharu Everton.
Beberapa kelab seperti Nottingham Forest dan Leeds United juga merancang pengembangan stadium, manakala Manchester United baru sahaja mengumumkan projek £2 billion (RM11 billion) untuk membina stadium berkapasiti 100,000 tempat duduk dan bakal terbesar di United Kingdom.
Boehly menjelaskan pengubahsuaian Stamford Bridge lebih mencabar berbanding kelab lain kerana lokasinya di tengah-tengah kota London, menyebabkan pembinaan stadium baharu menjadi pilihan lebih realistik.
“Kami mempunyai peluang besar untuk membangunkan stadium dan perlu membuat keputusan mengenainya.
“Saya fikir para pemilik akan bersetuju atau akhirnya mengambil haluan masing-masing. Kami ada 16 hingga 20 tahun untuk menyusun perancangan Chelsea. Ia bukan mudah seperti membina sesuatu di kawasan luar bandar,” kata Boehly.
Sejak mengambil alih Chelsea, Boehly sering menjadi sasaran kritikan, termasuk protes besar-besaran oleh ribuan penyokong di luar Stamford Bridge bulan lalu, namun beliau tetap optimis dengan perancangannya.
“Kritikan adalah sesuatu yang biasa dalam industri ini. Semakin cepat anda sedar bahawa anda tidak boleh memuaskan hati semua orang, semakin bebas anda bertindak,” tambahnya. – AGENSI