SUBANG JAYA – Dalam usaha menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi anak-anak yatim dan asnaf, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) menganjurkan program Ceria Raya – Shopping Syawal di Mydin Subang Jaya pada 20 Mac lalu.
Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk membeli pakaian baharu dan keperluan menyambut raya yang bakal tiba, seterusnya menyemarakkan lagi semangat mereka untuk meraikannya.
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporatnya, DRB-HICOM telah menaja perbelanjaan sebanyak RM250 bagi setiap penerima untuk membeli keperluan Aidilfitri.
“Seramai 80 penghuni berusia antara 7 hingga 22 tahun dari tiga rumah kebajikan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diraikan pada program ini.
“Rumah kebajikan yang terlibat adalah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Baitul Al-Hilmi, Slim River, Perak; Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Seremban, Negeri Sembilan serta Pertubuhan Kebajikan Asnaf Raudhatul Jannah, Banting, Selangor.

“Selain itu, DRB-HICOM turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada setiap rumah kebajikan bagi membantu keperluan pengurusan mereka,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini baru-baru ini.
Pada program ini, seramai 40 Sahabat iaitu sukarelawan daripada Kumpulan DRB-HICOM, hadir membantu anak-anak yatim dan asnaf dalam sesi membeli-belah tersebut.
Mengulas lanjut, Cairil Irwan berkata, setiap sukarelawan membimbing dua hingga tiga anak-anak ini bagi memastikan mereka dapat memilih keperluan hari raya dengan wang yang diberikan.
“Dengan ini, para penghuni dapat merasai membeli barang baharu yang diingini dan dipilih oleh mereka sendiri. Sukarelawan kita pula dapat meraih pemahaman lebih mendalam terhadap keperluan dan kehendak golongan yang lebih memerlukan serta menyumbang tenaga membantu menghidupkan lagi pengalaman membeli-belah tersebut,” katanya.

Tambah Cairil Irwan, setelah selesai membeli-belah, juadah iftar turut dihantar ke rumah-rumah kebajikan ini bagi memastikan mereka dapat menikmati hidangan berbuka puasa bersama rakan-rakan penghuni lain. Ini selaras dengan konsep ‘memberi semula kepada komuniti’ yang diterapkan oleh DRB-HICOM.
Sementara itu, Pengerusi dan juga Pengasas Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Ruzita Abdul Aziz meluahkan rasa syukur kerana seramai 20 anak-anak dari rumah kebajikannya terpilih sebagai antara penerima sumbangan raya kali ini.
Jelasnya, anak-anak tersebut turut menunjukkan rasa teruja apabila mereka berpeluang memilih sendiri pakaian, kasut dan keperluan raya yang diidamkan.
“Sehari sebelum majlis lagi anak-anak ini dah fikir apa mereka nak beli, warna apa baju raya kali ini, semuanya bersemangat.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak DRB-HICOM kerana menyuntik keceriaan dan kebahagiaan kepada anak-anak ini untuk mereka lebih semangat menyambut Aidilfitri bersama keperluan serba baharu,” katanya. -KOSMO! ONLINE