fbpx

Bubur lambuk resipi rahsia 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Roslan (dua dari kiri) bersama Abd. Wahid (kiri) mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai yang melalui pekarangan pejabat JHEAINS di Rembau kelmarin.

REMBAU – Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) bersama Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) mengagihkan 1,000 bubur lambuk percuma kepada warga Rembau, di sini kelmarin.

Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk itu turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Cawangan Rembau.

Aktiviti mengedarkan bubur lambuk itu bukan hanya sebahagian daripada usaha menyemarakkan bulan Ramadan tetapi menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut setiap tahun di lokasi terpilih.

Setiap pek yang berisi bubur lambuk dan produk Mahsuri Dagang itu telah diedarkan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Mohd Roslan Mahayudin; Pegawai Agama Islam Daerah Rembau, Ahmad Hilal Kasim; Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris serta pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad.

Rohaya berkemahiran tinggi dengan pengalaman memasak bubur lambuk menggunakan resipi rahsia yang diamalkan sejak 15 tahun lalu.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya telah memilih JHEAINS Rembau sebagai lokasi terakhir fasa ketiga bagi pengedaran bubur lambuk sempena Ramadan tahun ini.

Ini adalah program pengagihan bubur lambuk kelima yang diadakannya.

Sehingga kini, syarikat telah mengagihkan sebanyak 24,000 bubur lambuk.

“Istimewanya hari ini bersama JHEAINS di Rembau menjadi bukti bahawa produk keluaran Mahsuri Dagang adalah halal.

“Malah, semua produk kami juga sesuai dengan selera masyarakat di negara ini,” kata­nya.

Menurut beliau, antara produk digemari ramai adalah kicap manis pedas, kicap lemak manis, kicap manis, sos tiram, sos tiga rasa, sos korea dan sos lada hitam.

“Produk seperti kicap lemak manis dan sos tiram memberi nilai tambah rasa yang lebih sedap kepada menu bubur lambuk,” katanya.

“Apa yang lebih penting, kami mengutamakan tukang masak tempatan mengikut lokasi yang memasak bubur lambuk itu agar ia bersesuaian mengikut selera penduduk setempat,” katanya.

Ahli kumpulan Mawadah bergotong- royong bersama petugas Media Mulia dan juga Mahsuri Dagang menyiapkan hidangan bubur lambuk.

Selain itu, mengulas lanjut mengenai aspek masakan, tukang masak, Rohaya Saleh, 62, berkata, bubur lambuk yang diedarkan dalam program ini adalah hasil resepi yang diamalkannya sejak 15 tahun lalu.

Beliau yang merupakan Pengerusi Kumpulan Mawadah bersama ahli kumpulannya berusia antara 52 hingga 70 tahun bersama kakitangan JHEAINS telah memulakan kerja memasak secara bergotong-royong sejak pukul 7 pagi.

“Biasanya kami guna udang kering, tapi kali ini, kami gunakan tiram sebagai bahan mentah utama dan pastinya rasa bubur lambuk ini lebih sedap.

Menurutnya, bubur lambuk yang dihasilkan juga seme­mangnya mempunyai peminat yang tersendiri kerana juadah tersebut menggunakan resepi rahsia rempah yang diadunkan sendiri terlebih dahulu.

Menurutnya, bubur lambuk yang menggunakan resepi rahsia yang sama itu juga sering mene­rima tempahan semasa bulan Ra­madan, Rejab dan juga Syaaban.

“Bagi program kali ini, empat periuk besar dengan 35 kilogram beras telah digunakan untuk ­menyediakan sebanyak 1,300 bubur lambuk ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hilal berkata, usaha syarikat koporat seperti Mahsuri Dagang dan Media Mulia dalam menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan dengan aktiviti bersedekah makanan, sepatutnya wajar dicontohi.

Malah menurut beliau, melalui program tersebut, syarikat dapat berkongsi rezeki bersama kakitangan jabatan, ahli badan bukan kerajaan (NGO) serta kakitangan syarikat koporat.

“Kami juga memilih untuk mengedarkan bubur lambuk kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Undang Rembau,” katanya.

“Lebih menarik, pelajar istimewa yang ditemani ibu bapa serta penjaga masing-masing telah menerima duit raya dan juga barangan eksklusif Mahsuri Dagang dan Media Mulia,” katanya.

Menurut beliau, agihan bubur lambuk turut dilakukan di beberapa buah sekolah, pelbagai pejabat agensi kerajaan di daerah Rembau selain menyantuni orang ramai yang berada di lokasi berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI