IPOH – Sebuah bengkel kereta di Anjung Tawas Sinaran di sini yang dijadikan stor haram bagi menyimpan 5,000 liter diesel tanpa permit diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) pada pukul 1.10 petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Ipoh.
Beliau berkata, maklumat sumber risikan telah berjaya mengesan tempat simpanan stor haram minyak diesel berselindung di sebalik bengkel kereta.
“Modus operandi sindiket adalah mereka akan membeli minyak diesel dengan harga murah sekitar RM2 seliter dari pemandu-pemandu lori syarikat yang mencurinya dari lori dipandu terbabit.
“Pemandu lori itu menyedut minyak diesel dari tangki asal lori ke dalam tong drum di belakang bengkel. Minyak diesel tersebut akan dijual kepada pihak industri di sekitar Ipoh,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 5,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di premis tersebut.
Katanya, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berumur 59 tahun yang mengaku sebagai pemilik bengkel didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 5,000 liter, 24 tong drum, 11 tong jerrycan, pam minyak dan telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM19,363.94,” katanya.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan. – KOSMO! ONLINE