KLANG – Seorang bapa lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelaki dalam kejadian di Jalan Bukit Jati, Kampung Bukit Jati di sini malam ini.
Mangsa berusia 40 tahun itu ditemui pukul 9 malam pada jarak tiga meter dari lokasi anaknya terjatuh ketika memancing di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.54 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mangsa keluar memancing bersama anak lelakinya berusia 11 tahun.
“Mangsa dipercayai telah terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai.
“Kanak-kanak itu telah berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Kata beliau, anggota bomba kemudian melakukan pencarian dan berjaya menemui mangsa pada jarak tiga meter dari lokasi anaknya terjatuh.
Menurutnya, mangsa berjaya dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE