DOHA – Ducati yakin pelumba utamanya, Francesco Bagnaia akan kembali menemui prestasi terbaiknya bermula saingan Grand Prix (GP) Qatar selepas permulaan musim 2025 yang agak mengecewakan.
Juara dunia dua kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu menghadapi cabaran getir selepas kehadiran Marc Marquez sebagai rakan sepasukan di jentera Ducati apabila berjaya merakam dua kemenangan pada GP Thailand dan GP Argentina.
Di Argentina, Bagnaia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, ketinggalan 5.5 saat di belakang Marquez.
Sebelum itu, di Thailand, dia meraih tempat ketiga tetapi tidak pernah dilihat sebagai pencabar utama untuk kemenangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali tetap optimis prestasi Bagnaia akan berubah selepas perlumbaan di Litar Austin (GP Americas) hujung minggu ini.
“Saya yakin kita akan melihat kejuaraan yang berbeza bermula dari Qatar.
“Pecco (Bagnaia) memulakan musim dengan dua perlumbaan yang tidak begitu sesuai untuknya. Dia juga menghadapi beberapa masalah semasa ujian pramusim, jadi kita belum melihat potensi sebenarnya.
“Austin mungkin masih menjadi perlumbaan sukar untuknya, tetapi di Qatar, saya percaya dia akan kembali ke barisan hadapan,” katanya.
Ketika ini, pelumba Itali itu berada di tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan, 31 mata di belakang Marquez.
Walaupun masih belum berada pada tahap diharapkan, kedudukan podium di Thailand dan keputusan konsisten di Argentina menandakan kemajuan bagi Bagnaia dalam perlumbaan sprint. – AGENSI