“TRAUMA anak akan berpanjangan, membawa sampai ke tua dan takut ganggu kehidupan serta karakternya apabila dewasa.”
Demikian peringatan pengacara Datuk Aznil Nawawi berkaitan isu masalah perebutan anak yang kerap terjadi dalam kalangan pasangan bercerai, contohnya dalam kalangan selebriti.
Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, 63, turut menasihatkan mana-mana individu agar tidak menggunakan anak-anak sebagai senjata atau perisai dalam pergaduhan sesama bekas pasangan.
“Mereka akan gunakan anak-anak sebagai senjata untuk balas dendam kepada bekas pasangan. Kadang-kadang guna sebagai perisai supaya tak diserang. Saya mahu ingatkan bahawa kasihanilah anak-anak. Mereka tak sepatutnya dijadikan perisai atau senjata dlam pertelingkahan kalian.
“Anak-anak hasil daripada cinta dan kasih sayang kalian dahulu. Janganlah bertelingkah sesama sendiri dan menggunakan anak-anak sebagai peralatan.
“Fikirlah, jangan buat sesuatu tindakan untuk jangka pendek. Mungkin semasa baru berpisah agak marah. Tiga tahun akan datang kalian akan berkawan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Melihat rakan industri berdepan kemelut, pengacara ikonik yang sinonim dengan program realiti popular Akademi Fantasia itu mengambil inisiatif menghubungi selebriti yang terlibat isu sama untuk membantu menyelamatkan hubungan baik mereka.
“Sebagai orang tua berbanding rakan rakan-rakan, saya tak pernah komen dalam media sosial tetapi akan hubungi mereka atau mesej sebab sebagai orang pernah lebih dahulu makan garam, tahu pengalaman dalam hidup dan kerjaya.
“Jangan bunuh kerjaya dan keluarga semata-mata kerana dendam yang pendek. Mereka nak terima atau tak, tidak kisah. Lagi pun, mereka yang saya hubungi adalah orang rapat.
“Bukan nasihat sebagai pakar tetapi boleh tenangkan dan ruang berfikir. Bila saya masuk, ada dimensi berfikiran cara lain.
“Alhamdulillah, ramai kata nasib baik saya telefon. Mereka dah tenang dan lebih mudah untuk menyelesaikan masalah,” ujarnya lagi.
Pak Nil turut memaklumkan tindakan tersebut diambil bagi mengelak rakan seperjuangn menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.
“Sia-sia saya jadi orang tua dalam industri tetapi tak bantu mereka yang ada masalah. Apa sahaja tingkah rumah tangga artis akan jadi perbualan ramai. Dalam rumah tangga tiada siapa betul atau salah. Cuma tengah marah kita akan cakap, kita betul.
“Akan tiba masa bila kalian bersahabat semula atau berdamai dengan takdir, anak-anak dilihat trauma, terluka dan takut,” jelasnya.