PETALING JAYA – Satu rakaman video memaparkan insiden seorang lelaki memarahi dua individu dipercayai anggota penguat kuasa kerana merampas barangan jualannya tular di media sosial.
Menerusi rakaman video berdurasi 43 saat tersebut, lelaki berkenaan dilihat memarahi dua individu berpakaian preman kerana merampas troli kecil mengandungi air mineral yang dibawanya.
“Ambil.. ambil. Aku berniaga air mineral dengan tisu saja,” katanya sambil diperhatikan orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap lelaki tersebut, namun tidak kurang juga mempertahankan tindakan anggota penguat kuasa.
“Orang itu berniaga bukan makan ruang pun. Untung pun tidak seberapa sekali jualan,” kata pemilik akaun Facebook
Muhammad Hafis.
Pemilik akaun Mike Rain turut melontarkan kekesalan dengan menyatakan: “Rakyat masih perlu nak berniaga di jalanan demi sesuap nasi”
“Dia jual air meneral dan tisu untuk memudahkan orang siap buka puasa dan air masak. Husnuzon lah weh,” kata
Mohd Salehuddin.
Pemilik akaun Ayraf Basri namun berpandangan, lelaki tersebut tidak sepatutnya menjual air mineral dan tisu di lokasi tersebut.
“Situ ada `food truck’ yang berbayar untuk berniaga. Bila ada `ulat-ulat’ macam ini, rugi perniaga yang bayar tapak,” katanya.
Bani Adam pula berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan ia perlu dikuatkuasakan apabila undang-undang tidak dipatuhi.
“Benda boleh selesai elok-elok. Ambil lesen atau berniaga di tempat yang dibenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE