KOTA BHARU – Yayasan Petronas menyantuni 400 keluarga kurang berkemampuan di Kelantan dengan mengagihkan pek perayaan berupa bakul makanan untuk meringankan beban mereka sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, agihan itu melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang lebaran.
“Setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, kari ayam dalam tin, gula, garam, serbuk minuman coklat dan teh.
“Selain itu, mereka turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang,” katanya pada Majlis Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2025 dan Majlis Berbuka Puasa Petronas di sebuah hotel di sini hari ini.
Mohammad Ahmad Shazly memberitahu, Yayasan Petronas turut menyampaikan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar).
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada usaha Petronas membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan industri kecil dan sederhana.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan membawa kegembiraan sempena Aidilfitri,” katanya. – KOSMO! ONLINE