JAKARTA – Sebanyak 345 daripada 2,895 buah masjid di wilayah Kalimantan Selatan yang berada di laluan balik kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri akan dibuka selama 24 jam, lapor laman berita Banjarmasin Post kelmarin.
Ia akan dijadikan tempat istirahat untuk penduduk yang dalam perjalanan pulang ke kampung serta bertujuan mengurangkan kesesakan di kemudahan rehat dan rawat yang lain.
Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Agama Kalsel, Muhammad Tambrin meminta pihak pengurusan masjid memastikan ia berada dalam keadaan bersih.
Katanya, tandas, tempat istirahat selain makanan dan minuman untuk berbuka puasa turut disediakan untuk penduduk yang berhenti rehat ketika pulang ke kampung.
“Kami menggesa pihak pengurusan masjid di laluan balik kampung untuk menyediakan kemudahan sebaik mungkin,” ujarnya.
Tambrin menjelaskan, inisiatif itu sejajar dengan arahan Menteri Agama, Nasaruddin Umar yang meminta masjid di laluan balik kampung dijadikan tempat istirahat. – AGENSI