KUALA LUMPUR – Seramai 150 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan masjid di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata kawalan yang akan dijalankan adalah sama seperti majlis-majlis perasmian yang diadakan sebelum ini.
“Kawalan atau persediaan anggota adalah sama sahaja seperti majlis perasmian yang berlangsung sebelum-sebelum ini.
“Kita tugaskan seramai 150 anggota untuk bersiap siaga bagi memantau situasi di lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tetap akan meneruskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani Jalan Masjid India yang akan berlangsung esok.
Menurut beliau, kawasan berdekatan sesak dan satu masjid baharu diperlukan di lokasi tersebut bagi menampung umat Islam yang mahu beribadah.
Pada 20 Mac lalu, media melaporkan proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata DBKL berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.- KOSMO! ONLINE