JAKARTA – Pengendali Indonesia, Patrick Kluivert mengakui para pemainnya masih mampu mengekalkan tahap keterujaan dalam sesi latihan menjelang aksi menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 esok biarpun dimalukan Australia 1-5 sebelum ini.
Perlawanan menentang Bahrain menjadi medan terbaik buat Kluivert memadam kritikan hebat selepas tewas pada aksi debutnya mengemudi Indonesia sambil mengakui memiliki sedikit pengalaman berdepan pasukan itu ketika menjadi jurulatih Curacao sebelum ini.
“Bahrain adalah pasukan yang baik, kami perlu menghormati mereka. Bagaimanapun, apa yang penting adalah kami perlu fokus dengan persiapan pasukan dan mental pemain berada pada tahap terbaik dan cukup kuat,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya dengan kualiti persembahan para pemain biarpun berdepan kekalahan besar kepada Australia dan mahu semua pihak melupakan episod sedih itu dengan memberikan fokus aksi bertemu Bahrain.
Kluivert mengakui tidak bimbang kehilangan tiga mata bertemu Bahrain kerana percaya pasukannya mampu memenangi perlawanan berkenaan terutama ketika aksi bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno dan bakal menerima sokongan padu peminat.
“Jika kami tidak percaya mampu menang, sukar untuk memenangi perlawanan ini. Aksi kali ini sangat penting. Jepun berjaya menewaskan Bahrain sebelum ini dan kini giliran kami untuk mencatat kemenangan ke atas mereka,” jelasnya. – AGENSI