KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan portal VisitKL, yang menyediakan maklumat mengenai lokasi-lokasi menarik termasuk bangunan ikonik untuk kemudahan para pelancong.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, portal VisitKL itu merupakan langkah proaktif pihaknya dalam menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 dan persiapan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, selaras dengan itu, dua jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Tindakan Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Tindakan Kesejahteraan Bandar ditubuhkan bagi memastikan kesiapsiagaan Kuala Lumpur.
“DBKL menyambut baik hasrat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan utama yang mengetengahkan elemen seni dan warisan.
“Selaras dengan pengiktirafan ‘Warisan KL’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, DBKL komited untuk memperkukuh keunikan budaya serta memperkasakan warisan bandar raya ini,” katanya ketika merasmikan portal VisitKL di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Maimunah memaklumkan, pihaknya kini dalam proses merangka Pelan Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, selari dengan Pelan Strategik DBKL 2030 dan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.
”Pelan ini memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi melalui pembangunan produk pelancongan yang mampan, sekali gus menjadi rujukan utama dalam hala tuju sektor pelancongan bandar raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE