PETALING JAYA – Keakraban dan kenangan lama kembali segar apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, meluangkan masa berbual mesra dengan bekas gurunya selepas baginda selesai berangkat ke Program World #QuranHour 2025 di Gombak, hari ini.
Menerusi beberapa video tular di media sosial, Tunku Azizah kelihatan gembira dan teruja bertemu semula dengan insan yang pernah mendidiknya sewaktu zaman persekolahan.
“You’re so (anda sangat) garang, you make me scrub the floor everyday (anda membuat saya menyental lantai setiap hari),” seloroh baginda ketika sesi pertemuan itu.
Dalam video tersebut, Tunku Azizah mengimbau kembali kenangan semasa kelas memasak bersama bekas gurunya itu, Raja Norshiah Raja Mohd Nor, 79, ketika baginda tingkatan tiga di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Baginda turut menyifatkan Raja Norshiah seorang guru yang garang.
“Garang (dia) ini. Tapi sebab ini saya pandai masak,” titah baginda.
Pertemuan indah itu turut memperlihatkan bekas gurunya secara spontan menampar-nampar lengan baginda ketika sedang diusik seperti kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai merindui kecomelan serta gelagat Tunku Azizah ketika bertemu dengan rakyat.
“Tengok itu wahai budak-budak sekarang, Tunku Azizah anak raja, tak ada pun sikit-sikit mengadu (kalau cikgu garang),” kata A Haji Harry.
“Cikgu Sains Rumah Tangga (SRT) Sekolah Tun Fatimah memang garang. Berleter macam mak-mak kita. Kita selalu kena leter ‘sedas dua’ setiap kali kelas SRT sebab tak pandai masak atau jahit,” kongsi Emylia Mohd. Nor.
Terdahulu, Tunku Azizah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2025 yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pagi tadi.
Tunku Azizah tiba di pekarangan masjid pada jam 11.55 pagi bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Saff yang dipilih sebagai surah utama dalam program tersebut.
Iklan
Kehadiran Tengku Ampuan Pahang diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE