KUALA LUMPUR – Hajat seorang pengusaha kedai gunting rambut di Johor Bahru melebarkan perusahaannya itu terbantut apabila ditipu kartel Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pada tahun lalu menyebabkan kerugian sebanyak RM93,000.
Dikenali sebagai Farid, 36, dia dijanjikan kartel berkenaan kuota permit bagi 40 pekerja asing namun gagal berbuat demikian sehingga kini.
Menurutnya, dia telah membuat 13 transaksi bagi tujuan berkenaan sekitar 15 Disember sehingga 5 Januari lalu ke akaun yang berbeza-beza.
Susulan itu katanya, laporan polis telah dibuat pada 17 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bahru apabila menyedari dirinya telah ditipu.
“Saya kenal dengan ejen tu menerusi salah seorang pelanggan yang beritahu boleh tolong buatkan permit kerja. Saya kemudiannya dikenalkan dengan ‘pegawai imigresen’ bernama ‘Hisham’ dan kami berjumpa Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta untuk buat permit dan bayaran.
“Saya rasa yakin untuk teruskan sebab kami berjumpa di Kompleks KDN dan ‘pegawai’ tu juga pakai uniform serta topi berlogo KDN,” katanya ketika sidang akhbar oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata, pihaknya menerima terlalu banyak aduan tentang penipuan RTK iaitu mencecah 10 kes sehari.
“Ejen-ejen ini menyalahgunakan program tersebut dengan menipu, memperdaya, dan menyelewengkan wang pendaftaran, termasuk levi pendaftaran RTK dan caj-caj lain yang sepatutnya dibayar kepada Jabatan Imigresen (JIM).
“Bayaran itu sepatutnya menjadi hak milik dan pendapatan kepada kerajaan dan negara tetapi ia diselewengkan oleh penipu-penipu kartel RTK ini yang pecah amanah,” tegasnya.
Beliau berkata, setiap usaha yang dibuat oleh KDN dan JIM umpama ‘festival’ kepada ejen-ejen dan kartel-kartel untuk mengaut keuntungan secara haram.
“Setiap warga asing dikenakan bayaran sehingga RM8,000 hanya bermodalkan pendaftaran RTK oleh kartel-kartel ini. Oleh itu, kami merayu kepada semua cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial supaya tidak pandang ringan terhadap aduan oleh warga asing yang telah ditipu.
“Mangsa (warga asing) takut nak buat laporan polis kerana bimbang disoal tentang pasport. Warga asing atau tidak, kita tidak boleh biar mereka kena tipu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE