PETALING JAYA – Tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap akan meneruskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani Jalan Masjid India, Khamis ini meraih pujian ramai.
Anwar yang menegaskan bahawa golongan majoriti dan minoriti harus mengikut hukum serta undang-undang, membuatkan orang ramai yang ‘gelisah’ menanti kata putus daripada beliau berkaitan isu terbabit kini mampu menarik nafas lega.
“Alhamdulillah, memberi sedikit ketenangan dalam suasana sekarang,” luah seorang netizen.
“Agama Islam semakin bersinar di bawah Kerajaan Madani. Terbaik PMX, Singa Asia. Tokoh kepimpinan negara Islam yang sangat dikagumi dunia,” komen Sham Zaman.
“Ramai-ramai datang sebagai menyokong masjid yang didirikan,” ujar Thamiddzi Akasah.
“Alhamdulillah, berikan hak kepada yang punya hak. Cuma aku ada risau sikit, takut media antarabangsa nanti akan spin (pusing) kata kerajaan Malaysia robohkan kuil untuk bina masjid. Kita kena bersedia dengan fitnah ni nanti,” pesan Norizan Kamaruddin.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar tetap akan meneruskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani Jalan Masjid India yang akan berlangsung Khamis ini.
Menurut beliau, kawasan berdekatan sesak dan satu masjid baharu diperlukan di lokasi tersebut bagi menampung umat Islam yang mahu beribadah.
“Kawan-kawan saya pun kata, ‘Anwar tukarlah nama masjid’. Tanah itu pemiliknya saya ‘check’ (periksa) semua betul. Mesti ada pendirian untuk memimpin, kena tegas hal sedemikian.
“Jangan zalim, jangan aniaya, jangan robohkan, tapi jangan tak lakukan apa-apa. Kawasan masjid berdekatan sesak, perlukan tempat baharu.
“Sebab itu saya teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 haribulan (Mac). Saya minta jawatankuasa kuil, seperti mana mereka lakukan. Runding dengan baik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 Tahun 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pagi tadi. – KOSMO! ONLINE