KEHILANGAN suami tercinta, Majed Salleh yang merupakan pelakon dan pengarah akibat masalah jantung bukan perkara yang mudah diterima buat penyanyi Ieda Zikir.
Setiap kali menjelang raya, kakak kepada penyanyi Shiha Zikir masih terkenang memori bersama arwah terutama sekali usahanya dalam menggembirakan seisi keluarga.
Kongsi Ieda, Majed sering meluangkan masa membawa keluarga mengunjungi lokasi jualan yang meriah kerana mahu anak-anaknya merasai suasana menjelang Aidilfitri.
“Kenangan dengan arwah paling saya rindu bila dia selalu bawa satu keluarga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur untuk rasa suasana malam raya.
“Meskipun dia tak larat nak berjalan atau penat layan peminat, tetapi dia sanggup pergi nak rasa kemeriahan. Nak harapkan saya memang tidaklah, sesak.
“Kadang-kadang dia bawa ronda kampung yang pasang pelita. Di KL pula susah jumpa suasana beraya di kampung,” katanya dalam nada sebak.
Selepas kehilangan suami, Ieda menggalas tanggungjawab Majed sebagai ketua keluarga dan berusaha mencari cara supaya anak-anak dapat menikmati suasana raya.
“Apa yang paling saya rasa nak buat adalah gembirakan anak-anak sebab arwah jenis biar dia tak pakai baru tak mengapa, janji anak-anak rasa.
“Saya paling berusaha nak anak-anak tak rasa kekosongan, mahu mereka rasa suasana raya.
“Apa-apa pun saya kena kuat untuk keluarga. Shiha pun selalu ambil tahu fasal saya kerana tidak mahu saya rasa kekurangan atau kosong walaupun dia sibuk,” jelasnya.
Keluarga tulang belakang
Bagaimanapun, Ieda bersyukur dikurniakan keluarga yang sentiasa mengambil berat hal anak-anak terutama sekali Shiha yang sering membantu dalam apa cara sekalipun.
“Bersyukur saya ada keluarga yang jadi tulang belakang. Shiha akan marah kalau saya tidak beritahu masalah saya.
“Saya adalah balu yang tak bekerja sebab arwah tidak bagi kerana mahu saya jaga anak-anak walaupun ketika itu saya aktif menyanyi dan kerja di belakang tabir.
“Selepas pemergian dia, saya agak ‘struggle’ tetapi bernasib baik ada keluarga yang sentiasa membantu saya,” ujarnya.