KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyuarakan rasa terharu atas kepercayaan ditunjukkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ia berikutan keputusan badan induk itu yang menamakan beliau sebagai calon pilihan untuk kerusi presiden bagi penggal 2025-2029 menjelang pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijangka berlangsung 10 Mei depan.
Beliau menerusi status yang dimuat naik pada laman X rasmi miliknya hari ini mengakui, tersentuh dengan sokongan ditunjukkan BAM selain menerima dengan hati terbuka pencalonan tersebut.
“Saya mahu berterima kasih kepada BAM atas keyakinan yang ditunjukkan dengan mencalonkan saya sebagai presiden persatuan itu. Saya berasa sangat merendah diri dan terharu dengan penghargaan ini.
“Sekiranya terpilih, saya akan memberikan perkhidmatan terbaik buat BAM serta sukan badminton demi peminat-peminat sukan badminton seluruh Malaysia,” tulisnya menerusi status tersebut.
Terdahulu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam memaklumkan, keputusan itu dibuat hasil perbincangan secara menyeluruh selain sudah mendapat restu daripada Ahli Majlis BAM secara majoriti.
“Mengambil kira apa yang terbaik untuk BAM, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa majoriti Ahli Majlis telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul bagi jawatan Presiden BAM dalam pemilihan akan datang.
“Kami melihat gambaran lebih besar mengenai BAM. Saya sendiri sudah lama berkhidmat dalam BAM dan arena badminton sejak 1988. Bagi saya, apa yang penting adalah pembangunan dan kesinambungan BAM, bukan individu,” ujar Subramaniam.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai Presiden BAM menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan awal tahun lalu, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta supaya beliau menangguhkan hasrat itu sehingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE