BEIJING – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tangannya tersepit di dalam mulut teman lelakinya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Rakaman kejadian yang dimuat naik di laman sosial memaparkan mereka berjalan ke bilik kecemasan sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian berlaku di wilayah Jilin apabila wanita berkenaan memasukkan tangan ke dalam mulut teman lelakinya untuk merakam kandungan video lucu.
Situasi ceria bertukar cemas apabila tangannya tersepit di dalam mulut lelaki tersebut.
Wanita itu gagal mengeluarkan tangannya meskipun ditarik beberapa kali.
Selain wajah teman lelakinya menjadi merah, dia turut mengeluarkan air liur tanpa henti kerana mulutnya terbuka.
“Air liurnya mengalir ke pergelangan tangan hingga ke siku,” kata wanita itu.
Seorang doktor bernama Zhang Mingyuan berkata, tangan mangsa tersepit kerana otot rahang teman lelakinya mengecut, menyebabkan dia tidak dapat membuka mulut lebih besar.
Petugas- petugas hospital cuba menenangkan pesakit dan dengan memainkan lagu sebelum menggunakan alat pembuka mulut khas untuk mengembangkan rahangnya.
“Selepas kira-kira 20 minit, saya memusingkan pergelangan tangan gadis itu perlahan-lahan dan ia akhirnya berjaya dikeluarkan,” kata Mingyuan. – AGENSI