JOHOR BAHRU – Penjualan tiket bagi menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang Nepal aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini sedikit suram.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, setakat 12 tengah hari tadi, kira-kira 3,300 tiket sudah terjual.
Beliau mengharapkan penjualan tiket bagi menyaksikan itu akan melonjak bagi menyatakan sokongan tak berbelah bahagi kepada skuad kebangsaan.
“Kita faham sekarang ini di bulan Ramadan, kita memahami perkara itu. Bagi yang telah mendapatkan tiket, terima kasih diucapkan atas sokongan padu yang diberikan kepada Harimau Malaya.
“Sememangnya, kita mengharapkan kejayaan besar diraih pada perlawanan ini, kami meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pengurusan pasukan baharu ini,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih, Peter Cklamovski turut mengzahirkan perkara yang sama untuk mengajak penonton memenuhkan Stadium Sultan Ibrahim pada malam ini.
Katanya, skuad Harimau Malaya memerlukan kehadiran pemain yang ke-12 bagi memberikan sokongan sekali gus menyuntik semangat juang mereka untuk beraksi pada tahap terbaik.
“Ayuh turun ke stadium, berikan sokongan kepada pasukan ini dan berikan tonik buat pemain untuk beraksi.
“Sama-sama kita bersatu untuk membawa pasukan bola sepak negara terus maju ke hadapan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE