PUTRAJAYA-Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara.
Sultan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM bertitah, tanpa mengira waktu, anggota PDRM sebagai pasukan keselamatan berdiri di barisan hadapan mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi menjaga ketenteraman awam, menguatkuasakan undang-undang serta melindungi rakyat daripada jenayah.
“Penugasan ini bukannya mudah, namun dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keberanian serta kesungguhan.
“Rakyat menghargai segala usaha dan jasa warga PDRM yang berkhidmat tanpa mengira siang dan malam.
“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga seluruh warga PDRM terus diberikan kekuatan dan keselamatan dalam setiap tugas yang dipikul,” titah baginda hari ini menerusi hantaran rasmi yang dibuat di Facebook hari ini.
Sultan Ibrahim juga menghargai sumbangan serta jasa pesara PDRM yang turut berkhidmat mencurahkan sumbangan mereka dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.
“Selamat menyambut Hari Polis Ke-218 kepada seluruh warga PDRM dan para veteran,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE