BANGKOK – Seorang lelaki hilang di sebuah kawasan pergunungan di Phuket sejak petang kelmarin ketika mendaki untuk mencari buah bersama isterinya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Isterinya, Tararat Payu, 56, berkata, suaminya, Surin Yadee, 61, sempat menghubunginya dan berkata: “Saya amat penat. Saya berasa seperti mahu pitam.”
Lelaki itu gagal dihubungi selepas panggilan telefon dibuat.
Tararat berkata, dia dan suaminya mendaki Gunung Ket Nee pada pagi kelmarin bagi mencari buah.
Selepas mengutip buah, mereka mendaki turun bersama-sama sebelum Tararat duduk seketika untuk berehat.
Tambahnya, suaminya ketika itu meneruskan perjalanan dan sempat menoleh ke arahnya untuk melambai tangan sebelum dia tidak lagi kelihatan.
Surin kemudian menghubungi Tararat sebelum panggilannya terputus.
Dia percaya lelaki itu mungkin telah pengsan atau sesat di dalam hutan sebelum menghubungi pasukan kecemasan.
Operasi menyelamat dilancarkan dan masih berterusan.
Pegawai berkata, Surin mungkin sesat dalam hutan itu di bahagian lain di kawasan pergunungan tersebut, manakala pasukan penyelamat akan meneruskan pencarian mereka. – AGENSI