KAJANG – Polis hampir melengkapkan siasatan berhubung kes samun kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada, Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan 12 saksi termasuk anggota polis bantuan yang terlibat.
“Siasatan kes tersebut hampir selesai, kita telah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Kontinjen Selangor Sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan suspek berusia 32 tahun itu merupakan seorang anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti dan menggunakan senjata api syarikatnya untuk melakukan jenayah tersebut.
Lelaki terbabit ditahan pada Ahad lepas pada pukul 10.15 malam di sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor dan sejumlah barangan kemas bernilai RM2 juta yang disamun telah berjaya ditemukan semula.
Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api. – KOSMO! ONLINE