PETALING JAYA – Memacu kegemilangan, penyanyi Mimi Fly menzahirkan keterujaan apabila lagu rayanya, Serumpun terus mencipta fenomena menerusi kolaborasi bersama syarikat penerbangan, AirAsia.
Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, berkata, kerjasama epik dengan syarikat penerbangan bagi kempen bersempena hari raya itu membawa nama negara ke serata pelosok destinasi.
“Berkolaborasi dengan AirAsia adalah perjalanan yang mengujakan, bukan sahaja sebagai artis, tetapi sebagai wakil budaya rantau ini.
“Berdiri di atas landasan dengan pesawat di belakang terasa seperti simbol kuat. Serumpun benar-benar terbang tinggi.
“Saksikan Mimi dan kru menari di landasan dengan pesawat AirAsia sebagai latar, meraikan semangat serantau yang menyatukan kita semua,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Dalam hantaran tersebut Mimi turut berkongsi visual dirinya mempersembahkan visual tarian berlatar belakang landasan kapal terbang.
Visual dihasilkan dengan kerjasama AirAsia menerusi kempen SerumpunSkyDance itu merupakan gabungan inovatif budaya, muzik, dan gaya moden Asia Tenggara.
Kempen terbabit menampilkannya beraksi dengan sekumpulan penari di landasan dengan pesawat AirAsia sebagai latar belakang, juga melambangkan perpaduan dan kebanggaan serantau.
Seiring pelancaran kempen, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu mengumumkan pelancaran versi Dolby Atmos pertamanya untuk lagu Serumpun.
“Melancarkan Serumpun dalam Dolby Atmos adalah pencapaian penting dalam karier saya.
“Kedalaman dan kejelasan lagu disuntik Taja Mustapha dalam adunan ini membolehkan peminat menikmatinya dengan cara sepenuhnya baharu,” ujarnya.
Terdahulu muzik video (MV) Serumpun mencetuskan fenomena apabila dikatakan unik apabila mengangkat muzik Nusantara namun turut berdepan kritikan apabila Mimi didakwa memilih persalinan terdedah.
Begitupun, syarikatnya M Fly Entertainment mengeluarkan versi suntingan baharu MV terbabit selepas menerima maklum balas ramai.
Versi terkini meraih lebih 1 juta tontonan dalam tempoh empat hari ditayangkan, sekali gus membuktikan sokongan padu peminat terhadap karya tersebut. – KOSMO! ONLINE