KANGAR – “Waktu itu saya hanya mahu selamatkan mangsa dalam kenderaan yang terjunam ke dalam sungai, saya sudah tak fikir apa-apa.”
Demikian kata seorang pesara polis, Sarjan (B) Yusoff Ya, 63, ketika mengimbau kembali saat dia menyelamatkan tiga mangsa kemalangan jalan raya.
Menurut Yusoff, dia juga membuat keputusan untuk terjun bagi menyelamatkan seorang pemandu dan dua cucu mangsa selepas kenderaan pacuan empat roda itu terjunam ke dalam sungai di Kampung Sungai Lempiak, Sungai Berembang, Kuala Perlis dekat sini pada 26 Januari lalu.
“Keputusan untuk menyelamatkan mangsa dibuat mungkin kerana slogan polis dan masyarakat berpisah tiada yang telah sebati dalam diri sejak mula menyertai polis pada 1981.
“Itulah yang diajarkan kepada anggota polis, membantu orang ramai walaupun diri sendiri berada dalam keadaan genting,” katanya yang juga ahli Persatuan Pesara Polis Perlis (PPPP).
Tindakan terpuji Yusoff mendapat perhatian pengurusan tertinggi polis Perlis dan mendahului senarai penerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan pantas pesara polis terbabit berjaya menyelamatkan tiga nyawa selepas kenderaan dinaiki lelaki bersama dua cucunya terjunam ke dalam sungai.
Menurut Yusoff, dia juga berharap agar semua anggota dan pegawai polis terus memegang prinsip polis dan masyarakat berpisah tiada dan sentiasa membantu orang ramai.
Sementara itu, Pengerusi PPPP, Sarjan (B) Abd. Hamid Yatim berkata, tindakan ditunjukkan Yusoff itu membuktikan walaupun anggota telah bersara, namun komitmen menjaga masyarakat masih berterusan.
Katanya, pihak persatuan turut memuji dan menyokong tindakan Yusoff dan berharap ia akan menjadi ikutan kepada pesara polis yang lain untuk terus berbakti kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE