fbpx

Saifuddin sahkan ada perbincangan dengan pemilik KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Aidilfitri kepada pemain-pemain KDA FC yang tidak menerima gaji di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan terdapat perbincangan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC berhubung hala tuju pasukan bola sepak itu.

Saifuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata, pertemuannya dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang diadakan sebelum ini adalah kerana minatnya terhadap sukan bola sepak dan pasukan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bentuk perbincangan itu, namun memaklumkan rundingan tersebut masih terbuka.

“Saya tak sebut tentang pemilikan, saya boleh sahkan bahawa saya memang telah menjalankan perundingan bersama Tan Sri Daud untuk mengetahui tentang kedudukan pasukan KDA FC,” katanya selepas Majlis Serahan Sumbangan Tabung Aidilfitri kepada pemain dan pegawai KDA FC, di sini hari ini.

Terdahulu Saifuddin ketika berucap
memberitahu bahawa satu perkara besar melibatkan pasukan bola sepak KDA FC akan diumumkan selepas ini.

Katanya, beliau perlu mengikuti perkara berkaitan dengan teliti sekiranya berhasrat atau mahu mengumumkan apa-apa langkah ke hadapan melibatkan pasukan bola sepak itu.

“Saya tak mahu buat apa-apa kesimpulan lagi kerana perlu tahu kedudukan kita di mana. Daripada segi pemilikan pasukan, kita tahu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan juga Tan Sri Daud telah menubuhkan KDA FC dengan sekian-sekian pegangan saham.

“Kita juga tahu bila keadaan pasukan sedang bergelut sebegini maka wakil daripada KFA seperti Khamal (Idris Ali) dan Radhi (Mat Din) yang berundur dan pegangan saham mereka diambil alih oleh Tan Sri Daud tetapi Ketua Pegawai Eksekutif KFA masih lagi kekal dalam kelab,” katanya.

Ujarnya, beliau memahami detik sukar dilalui Mohd. Daud yang menguruskan pasukan KDA FC ketika ini dengan mengambil inisiatif menggerakan kutipan tabung itu bersama beberapa pihak di Kedah.

“Kita telah berjaya mengumpul RM200,000 setakat tengah hari semalam, saya rasa bersyukur inisiatif yang dimulakan secara kecil-kecilan ini dapat membantu melegakan mereka, bayangkan tinggal lagi seminggu persiapan raya tak menentu akibat daripada tak dapat gaji bulanan yang agak lama,” katanya.

KDA FC berdepan kemelut kewangan yang meruncing sehingga pemain dan pegawai pasukan itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun dan kini berada di tangga ke-11 Liga Super.

Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan Sri Pahang dan KDA FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Tunku Ismail menjelaskan, masalah itu berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap apabila perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI