CANBERRA – Seorang penghantar makanan di Australia menerima kecaman orang ramai kerana membuang air kecil di dalam lif sebelum menghantar makanan pelanggan dengan tangan yang kotor, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Antarmon, negeri New South Wales pada 10 Mac lalu.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dia masuk ke dalam lif sambil membawa beg plastik berisi makanan pelanggan.
Lelaki itu kemudian membuka zip seluar menggunakan sebelah tangannya dan membuang air kecil di dalam lif.
Rakaman sama menunjukkan tompokan basah selepas pelaku keluar daripada lif.
Penghuni bangunan pangsapuri tersebut, Geoffrey Grasso berkata, lelaki itu dipercayai menggunakan tangannya yang kotor untuk menghantar pesanan kepada pelanggan.
“Ia benar-benar menjijikkan apabila dia memegang makanan dengan tangan yang digunakan semasa membuang air kecil.
“Meskipun lif itu telah dibersihkan, ia masih meninggalkan bau hancing,” kata Grasso.
Mengulas kejadian itu, seorang jurucakap syarikat Uber Eats berkata: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Kami sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pekerja tersebut”. – AGENSI