DAPAT berkumpul satu keluarga pada Hari Raya Aidilfitri sememangnya menjadi impian setiap orang.
Sama juga seperti pengacara Datuk AC Mizal yang merancang untuk membawa satu keluarga menyambut lebaran di Berlin, Jerman.
Hal tersebut dilakukan kerana anak lelakinya iaitu Muhammad Reeve Damien yang menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan dan akaun di sana sejak 2023.
“Alhamdulillah persiapan raya tahun ini tak banyak pun sebab insya-Allah kami sekeluarga bakal beraya dengan anak yang berada di Berlin.
“Ini tahun kedua kami beraya di sana. Memandangkan saya baru kehilangan mak mentua, jadi nak bawa hati jauh sikit supaya kesedihan kami disambut kegembiraan di sana.
“Insya-Allah kami pergi lebih kurang tiga minggu atau sebulan dan raya pertama di sana. Dapatlah merasa sebagai pelajar luar negara,” katanya kepada HibGlam.
Dalam kesempatan itu, pemilik nama sebenar Datuk Mizal Datuk Zaini, 52, juga merancang untuk meluangkan masa di kedutaan Malaysia di Berlin untuk merasai sendiri suasana raya.
“Bagi anak saya beraya di sana biasa sahaja cumanya puasa yang susah sikit sebab seorang diri.
“Raya tahun ini kami nak cuba pergi ke kedutaan Malaysia untuk rasa suasana beraya di sana.
“Tahun lepas tak sempat pergi untuk merasai pengalaman beraya di kedutaan,” ujarnya.
Karier seni
Berkongsi lanjut mengenai kehidupan peribadi, AC bersetuju bahawa dia kurang aktif dalam dunia seni kerana memilih untuk bersama keluarga dan juga memberi fokus kepada perniagaan.
Dia juga mengakui berjauhan dengan anak lelakinya turut menjadi punca dia memperlahankan rentak dalam dunia industri selain pemergian ibu mentua pada Februari lalu yang turut memberi kesan kepada keluarganya.
“Tahun ini memang tiada tawaran kerja sangat sebab saya nak luangkan masa lebih bersama keluarga dan juga tumpukan kepada perniagaan.
“Hati saya pun lebih kepada anak yang berada di luar negara sebab kami rapat. Nak aktif pun rasa ada kelumpuhan.
“Tambah pula mak mentua yang baru meninggal dunia, rasa kosong. Saya banyak luangkan masa terutama dengan isteri yang memerlukan semangat sebab dia rapat dengan mak dia,” jelasnya.