JAKARTA – Golongan pelajar Indonesia mengadakan bantahan di seluruh negara semalam bagi menentang semakan semula undang-undang tentera yang disifatkan aktivis sebagai mengancam demokrasi belia negara, lapor akhbar Arab News.
Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di pejabat kerajaan wilayah di pelbagai bandar termasuk Batam, Kupang, Lampung dan Sukabumi serta bandar kedua terbesar negara itu, Surabaya. Sekumpulan kecil penunjuk perasaan turut hadir di hadapan bangunan Parlimen di Jakarta.
Dengan kebanyakan mereka berpakaian hitam, penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis ‘Kembalikan tentera ke berek’ dan ‘Awas! Perintah baharu berada di depan mata kita.’
Aktivis telah turun ke jalan-jalan sejak Rabu lalu bagi membantah pindaan kontroversi Undang-Undang 2004 mengenai Angkatan Bersenjata Indonesia, yang bertujuan untuk meluaskan peranan tentera di luar bidang pertahanan.
Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia sebulat suara meluluskan semakan itu pada Khamis, dengan membenarkan pegawai tentera yang aktif mengisi lebih banyak jawatan dalam kerajaan.
Ia termasuk Pejabat Peguam Negara, Mahkamah Agung serta Kementerian Koordinator Hal Ehwal Politik dan Keselamatan.
Perubahan itu juga meningkatkan umur persaraan beberapa tahun untuk kebanyakan pangkat. Contohnya, jeneral empat bintang berpangkat tertinggi kini boleh berkhidmat sehingga 63 tahun, meningkat daripada 60 tahun.
Speaker Dewan Rakyat, Puan Maharani yang mengetuai pengundian dalam sidang pleno berkata, undang-undang yang disemak itu akan kekal berasaskan nilai dan prinsip demokrasi, ketuanan awam dan hak asasi manusia.
Dalam ucapan selepas rang undang-undang itu diluluskan menjadi undang-undang, Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin berkata, pindaan tersebut perlu dilakukan berikutan perubahan geopolitik dan teknologi ketenteraan global memerlukan tentera untuk berubah.
Katanya lagi, ia bagi menghadapi konflik konvensional dan bukan konvensional. – AGENSI