fbpx

Program Jualan Rahmah Madani Terengganu jana jualan RM8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifin (dua dari kanan) meninjau bekalan bawang sambil diperhati Mohd. Musfi (kanan) pada majlis pelancaran SHMMP Aidilfitri peringkat Terengganu di pasar raya Sabasun Dungun, Kuala Dungun hari ini.

DUNGUN – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dianjurkan di seluruh Terengganu sejak awal tahun ini telah berjaya menjana hasil jualan lebih RM8 juta.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Musfi Lat berkata, nilai transaksi tersebut dicapai menerusi penganjuran 211 siri PJRM di seluruh negeri ini dalam tempoh 12 minggu pertama tahun ini.

“Ia merangkumi 90 siri PJRM di dalam premis, bergerak (120 siri) dan pasar (satu) di seluruh lapan Parlimen di Terengganu.

“Sambutan diberikan penduduk setempat terhadap PJRM tersebut amat memberangsangkan kerana ia menawarkan harga barangan keperluan lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Kuala Dungun di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri peringkat Terengganu yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Ariffin Deraman.

Mohd. Musfi berkata, KPDN negeri akan terus menganjurkan PJRM bagi membantu pengguna tempatan membuat persiapan menyambut Aidilfitri minggu depan.

Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, sebahagian daripada 37 PJRM yang dirancang untuk meringankan beban pengguna pada bulan puasa dan raya terbabit telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mohd. Musfi berkata, setakat ini, lapan notis kompaun berkaitan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang Dan Sukat 1972 telah dikeluarkan sepanjang bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI