JOHOR BAHRU – Polis sedang menjalankan siasatan melibatkan insiden seorang penunggang motosikal dipukul penunggang lain di persimpangan lampu isyarat di Tampoi, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 29 tahun pada pukul 4.29 petang semalam.
Rakaman video insiden itu turut tular dalam media sosial termasuk TikTok.
“Mangsa mendakwa kejadian berlaku pada pukul 4.40 petang kelmarin di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
“Ketika lelaki itu memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat, berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang berhenti di persimpangan tersebut.
“Mangsa mendakwa dipukul beberapa kali di kepala sebelum suspek beredar,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.