GUA MUSANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan tiga lelaki untuk membawa keluar lebih 500 batang balak dan kayu yang ditebang secara haram di pintu gerbang Sungai Sam, Paloh di sini kelmarin.
Serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 4 petang semasa Batalion 8 PGA menjalankan tugasan Op Bersepadu Khazanah di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, semasa anggota PGA tiba, terdapat tiga lelaki sedang mengumpul hasil hutan yang diproses.
Pemeriksaan menemukan lebih 500 batang balak dan kayu yang sudah dipotong.
“Tiga lelaki berusia 28 hingga 52 tahun itu gagal menunjukkan permit atau lesen daripada Jabatan Perhutanan berhubung kegiatan mereka di kawasan berkenaan.
“Siasatan mendapati, mereka bertiga dipercayai berperanan sebagai penghantar hasil hutan untuk dijual ke pasaran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas barangan termasuk jentera memproses kayu bernilai RM1 juta. Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Paloh dan Jabatan Perhutanan Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985. – KOSMO! ONLINE