KUALA LUMPUR – Trend penghasilan sisa elektronik (e-waste) dijangka mencecah 24.5 juta unit (bersamaan dengan 284,941.2 tan metrik (TM)) menjelang tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah tersebut berbeza dengan pengumpulan e-waste yang berjaya dikumpul sejak tahun 2014 hingga 2023 iaitu hanya sebanyak 147 TM hingga 2,657 TM sahaja.
“Jumlah ini hanya mewakili satu peratus sahaja e-waste yang berjaya dikumpul berbanding dengan unjuran penjanaan e-waste tersebut.
“Data ini menunjukkan bahawa kesedaran berkaitan pengurusan e-waste di kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah,” katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Nik Nazmi berkata, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam perkara ini, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah merangka pelan Communication, Education and Public Awareness (CEPA).
Katanya, objektif pelan tersebut adalah untuk menyebarluas kepentingan pengurusan e-waste, meningkatkan lagi kesedaran orang awam (pengguna) berkaitan e-waste dan merancakkan aktiviti pengumpulan e-waste secara mesra alam.
“Antara inisiatif lain diambil oleh JAS juga termasuklah mengadakan Hari Pengumpulan e-waste pada setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan, menubuhkan pusat-pusat pengumpulan yang baharu di seluruh negara.
“Inisiatif lain termasuklah membangunkan aplikasi mudah alih MyEwaste yang boleh dimuat turun di Apple Apps Store dan laman sesawang e-waste (https://ewaste.doe.gov.my); serta menganjurkan pelbagai program-program kesedaran dengan menggunakan platform media sosial dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata NRES sedang membangunkan Mekanisme Pengurusan E-Waste bertujuan untuk memastikan pengurusan, pengendalian dan pelupusan e-waste yang dihasilkan oleh pengguna dilaksanakan secara Environmentally Sound Management (ESM) atau mesra alam.
Ujarnya, fasa pertama e-waste yang bakal dikawal adalah 6 item peralatan elektrik dan elektronik iaitu televisyen, komputer atau komputer riba, mesin basuh, pendingin hawa, telefon bimbit dan peti sejuk.
“Mekanisme ini menerapkan konsep Extended Producer Responsibility yang mana pihak pengeluar adalah bertanggungjawab untuk memastikan produk yang dihasilkan diuruskan secara mesra alam apabila ianya telah mencapai jangka hayat akhir (end of life),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang bertanya tentang tindakan kerajaan untuk menangani masalah e-waste yang membimbangkan. – KOSMO! ONLINE