GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebilangan rakan kongsinya memerlukan dana hampir AS$1 bilion (RM4.4 bilion) bagi menyediakan bantuan mendesak untuk kira-kira 1.5 juta pelarian Rohingya dan tuan rumah mereka di Bangladesh tahun ini.
Sehubungan itu, PBB dan lebih 100 rakan kongsinya melancarkan Pelan Tindak Balas Bersama 2025-2026 untuk menangani krisis Rohingya ketika sumber kewangan semakin berkurangan dan krisis global lain yang juga mendesak.
“Rayuan ini bagi mengumpul dana AS$934.5 juta (RM4.1 bilion) pada tahun pertama untuk membantu 1.48 juta pelarian Rohingya dan komuniti tuan rumah,” kata PBB dalam satu kenyataan.
Kira-kira sejuta penduduk etnik minoriti Rohingya yang ditindas dengan kebanyakan mereka beragama Islam, tinggal di kem-kem serba kekurangan di Bangladesh.
Kebanyakan mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada tahun 2017.
“Krisis kemanusiaan Rohingya sebahagian besarnya tidak mendapat perhatian antarabangsa,” kata kenyataan PBB.
Menurutnya, lebih separuh populasi Rohingya di kem-kem pelarian terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perempuan yang berdepan risiko tinggi menjadi mangsa keganasan dan eksploitasi berasaskan jantina.
“Sehingga keadaan di negeri Rakhine, Myanmar aman dan kondusif untuk pelarian Rohingya kembali, masyarakat antarabangsa mesti terus membiayai bantuan kepada pelarian di kem-kem ini,” kata PBB. – AGENSI