PARIS – Pengurus Perancis, Didier Deschamps menzahirkan pujian tinggi buat Kylian Mbappe yang dianggap berjaya memainkan peranan besar kepada kejayaan pasukan mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Eropah musim ini.
Pada aksi semalam, Le Blues menang 2-0 untuk mengikat Croatia 2-2 secara agregat sebelum Perancis memenangi perlawanan 5-4 menerusi penentuan penalti.
“Mbappe adalah pemain yang cemerlang dan dia juga kapten yang bagus sejak menyertai pasukan. Dia mempunyai semangat dan keazaman tinggi untuk melakukan persiapan bagi berdepan perlawanan ini.
“Dia mengharungi tempoh sukar, tetapi dia tidak mengulanginya sebaliknya ambil tanggungjawab untuk mengetuai pemain lain. Jadi, sudah pasti dia tampil sebagai kapten yang bagus buat kami sepanjang kem kali ini,” katanya.
Pada perlawanan semalam, Perancis memperoleh dua gol menerusi Michael Olise dan Ousmane Dembele, manakala trio Croatia Martin Baturina, Franjo Ivanovic dan Josip Stanisic dipalit kegagalan pada penentuan penalti
Deschamps menjelaskan kejayaan mara ke kelompok empat terbaik kali ini memberi makna cukup besar buat pasukannya dan ini adalah ganjaran paling berbaloi untuk pemain yang sudah pun bekerja keras.
“Kemaraan ini beri makna besar buat pasukan terutamanya selepas kritikan hebat ketika kami tewas pada aksi pertama. Kami mampu mengubah keadaan walaupun terpaksa menentang Croatia yang merupakan pasukan yang cukup berkualiti,” katanya. – AGENSI