KUALA LUMPUR – Dilabel ‘beauty with brain’ dan terlalu sempurna sehingga lelaki takut mendekat dan tidak bertahan lama, pelakon Amelia Henderson menegaskan dirinya hanya wanita biasa yang penuh dengan kekurangan.
Berpijak pada bumi nyata, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 30, berharap dipertemukan lelaki yang benar-benar mengenali dan menerima dirinya seadanya suatu hari nanti.
“Kalau mahu cakap saya cukup lengkap, itu memang tak betul. Tiada manusia sempurna tapi ada manusia yang suka mencuba dan saya harap saya jadi manusia sebegitu.
“Harap juga satu hari nanti akan ada seseorang kenal saya secara peribadi yang akan nampak dan terima kebaikan serta keburukan saya kerana semua itu wujud dalam semua diri manusia.
“Tapi pada akhirnya, pandangan orang terhadap saya bukanlah dalam kawalan kita sendiri. Ada yang nampak saya begini, mungkin ada pula menyampah tengok muka saya. Kita tak tahu, kan?,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang filem Pulau itu, ramai menyangka kehidupannya penuh kesempurnaan kerana hanya memaparkan momen gembira dalam media sosial, sedangkan realitinya tidak begitu.
“Bila kerja dalam dunia media sosial, memang ada tanggungjawab untuk sebarkan perkara positif.
“Setiap kali berkongsi sesuatu, saya nak buat orang gembira. Sebab itu nampak macam saya selalu bahagia.
“Tapi, di sebaliknya orang tak tahu. Takkanlah bila menangis, kita nak tunjuk. Mungkin ada yang rasa kongsi perkara sedih boleh bantu orang lain proses emosi mereka. Tapi saya lebih selesa simpan benda negatif secara peribadi,” luahnya.
Terdahulu, Amelia dikaitkan dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aazief, selepas mereka dilihat hadir bersama ke konsert Cinta Di Awan pada 11 Ogos tahun lalu.
Aazief juga memuat naik gambar Amelia bersama keluarganya dalam Instagram, mencetuskan spekulasi hubungan mereka.
Sebelum ini, Amelia pernah bercinta dengan pelakon Aedy Ashraf sebelum mengesahkan perpisahan mereka pada Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE