BAGAIMANA rasanya apabila seorang kanak-kanak yang dibesarkan dalam serba kekurangan, tanpa kehadiran ibu atau bapa, malah setiap hari memendam rindu kasih sayang orang tua.
Melihat rakan sebaya lain hidup sempurna, kanak-kanak ini telah diajar hidup berdikari atas kaki sendiri semata-mata memastikan kelangsungan hidup dalam dunia penuh mencabar.
Pada masa umat Islam menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan, ada daripada mereka menjalani ibadah di bulan mulia ini dengan kedukaan dan kepayahan.
Mungkin ada yang terpaksa berbuka dan bersahur secara ala kadar ekoran kekangan kewangan keluarga yang tidak mampu menyediakan makanan di atas meja.
Hanya sekadar minum air dengan nasi kosong, tidak punya wang membeli lauk apatah lagi membeli-belah di bazar Ramadan dengan pelbagai kuih-muih dan menu kegemaran.
Hakikatnya contoh-contoh tersebut antara episod hidup yang sememangnya berlaku secara realiti melibatkan kanak-kanak kurang bernasib baik di negara ini.
Ditambah lagi kedatangan bulan Syawal tidak lama lagi, sudah tentu mereka juga mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri sama seperti kanak-kanak lain.
Bagi merealisasikan impian kanak-kanak ini, MBSB memainkan peranannya melalui sumbangan bermakna, dengan niat yang baik serta usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan tersebut di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Untuk itu, kempen khas MBSB X Yayasan Chow Kit (YCK) dilancarkan sepanjang Ramadan serta Syawal dan dalam memastikan kesedaran disebar luas kepada masyarakat, satu video lakonan memaparkan kisah realiti anak-anak Chow Kit turut dihasilkan.
Video pendek itu menampilkan lakonan pelakon kanak-kanak, Dzul Hadziq, aktor terkenal, Zul Ariffin serta pelawak dan pelakon terkenal, Ropie. Ia dimuat naik pada platform media sosial MBSB.

Ketua Divisyen Strategi Korporat Kumpulan MBSB, Dato’ Azlan Shahrim berkata, kempen MBSB X Yayasan Chow Kit adalah sebahagian daripada inisiatif CSR dalam membantu komuniti memerlukan, khususnya kanak-kanak kurang bernasib baik di Chow Kit.
Menurutnya, MBSB komited untuk memastikan kanak-kanak ini menerima perlindungan, sokongan pendidikan, dan bantuan yang mereka perlukan untuk masa depan lebih baik.
“Sebagai sebahagian daripada kempen ini, MBSB telah menyalurkan tajaan berbuka puasa dan tajaan setahun bernilai RM252,000 kepada YCK yang secara langsung memberi manfaat kepada 190 kanak-kanak.
“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang nasib anak-anak yang hidup dalam serba kekurangan, seperti yang digambarkan dalam video kempen kami,” katanya.
Beliau menerangkan, sempena Ramadan, MBSB bersama YCK mengadakan beberapa program termasuk tajaan kewangan yang disalurkan untuk keperluan harian serta program pendidikan kanak-kanak di pusat jagaan yayasan tersebut.

“Usaha ini juga melibatkan bimbingan dan pembangunan kemahiran bagi membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah.
“Kami percaya bahawa kanak-kanak ini bukan hanya memerlukan bantuan kewangan, tetapi juga sokongan moral dan pendidikan yang berterusan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dato’ Azlan berkata, pihaknya berharap kempen ini dapat membuka mata masyarakat tentang realiti dihadapi oleh kanak-kanak di Chow Kit, serta menggalakkan lebih ramai pihak untuk membantu mereka.
“Di sebalik kemajuan pesat Kuala Lumpur, masih ramai kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan dan kekurangan.
“Kami menyeru masyarakat untuk turut serta dalam usaha membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, sama ada melalui sumbangan kewangan, tajaan makanan, mahupun dengan meluangkan masa untuk menyokong program komuniti.
“Setiap sumbangan, sekecil mana pun, mampu memberikan perubahan besar dalam kehidupan mereka. Bersama-sama kita boleh memastikan tiada kanak-kanak yang terpinggir dan mereka mendapat peluang yang adil untuk membina masa depan lebih cerah,” katanya. -KOSMO! ONLINE