fbpx

Lokman Hakim, Intan Suraya sempat ‘photoshoot’ raya sebelum maut nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar 'photoshoot' raya pasangan Lokman Hakim dan Intan Suraya sebelum maut kemalangan di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung, Sik pada petang tadi.

SIK – Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung, di sini pada petang tadi sempat merakamkan gambar kenangan mereka berdua sempena Aidilfitri ini di sebuah studio di Baling, dekat sini.

Menurut pemilik Bromie Studio, Mohamad Suhaimi Yahaya, dia terkejut sebaik mendapat tahu pasangan terbabit iaitu Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24, maut dalam kemalangan pada petang tadi.

“Pasangan suami isteri itu datang ke studio saya di Parit Panjang di Baling, dekat sini untuk merakamkan gambar raya kira-kira pukul 11 pagi tadi. Sesi ‘photoshoot’ berlangsung selama kira-kira 20 minit.

“Mereka yang berbaju raya kelihatan sangat gembira merakam momen bersama untuk kenangan Aidilfitri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pasangan itu teruja apabila melihat gambar-gambar tersebut yang dihantar terus ke telefon pintar mereka.

“Mereka gembira sangat apabila dapat terus gambar-gambar yang dirakamkan. Saya memang terkejut dengan kejadian menimpa mereka, gambar yang saya rakamkan pagi tadi mungkin menjadi antara kenangan terakhir mereka bersama,” ujarnya.

Tambahnya, seorang pelanggannya ada memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan Perodua Myvi dekat Teloi Timur, di sini dengan mangsa bernama Intan Suraya.

“Pelanggan saya itu beritahu mangsa baru balik daripada ‘photoshoot raya’. Waktu itu saya tidak berapa fokus kerana sibuk dengan sesi ‘photoshoot’raya.

“Tidak lama kemudian, isteri saya dapat panggilan daripada seorang rakan terdekat arwah Intan memaklumkan yang Intan sudah tiada dan mereka sebenarnya pelanggan saya pagi tadi. Mereka orang yang baik dan sedekahkan al-Fatihah buat kedua-dua arwah,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung, di sini petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI