JAKARTA – Seorang lelaki di Pasuruan, wilayah Jawa Timur menawarkan khidmat penukaran wang kertas baharu sebanyak 2 bilion rupiah (RM533,760) untuk dijadikan duit raya, lapor portal berita Abatanews semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @rama.wildan memaparkan longgokan wang kertas bernominasi 5,000 rupiah (RM2), 10,000 rupiah (RM3) dan 20,000 rupiah (RM6).
Dia mengajak supaya orang ramai menukar wang kertas baharu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Perkhidmatan itu ditawarkan di hadapan Hotel Adam, daerah Bangil.
Sementara itu, Bank Pusat Indonesia menetapkan had maksimum penukaran wang baharu sebanyak 4.3 juta rupiah (RM1,149) setiap orang.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.3 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Macam mana dia boleh dapat duit sebanyak itu walaupun bank tetapkan had?” kata seorang netizen. – AGENSI