fbpx

‘Kami cuba bincang dahulu, mungkin tak sekufu di pihak dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Edika memaklumkan tiada apa perlu dibimbangkan tentang keruntuhan rumah tangganya dengan isteri, Nor Hidayah.

PETALING JAYA – Pelakon Edika Yusof akhirnya membuka mulut mengenai spekulasi rumah tangganya selepas isterinya, Nor Hidayah Yusri, memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.

Menurut Edika, 58, tiada apa yang serius dan dia masih dalam proses berbincang dengan isteri mengenai kemelut yang melanda perkahwinan mereka.

“Insya-Allah nanti saya maklumkan perkembangan lanjut. Setakat ini, tiada apa yang serius pun.

“Kami cuba berbincang dahulu, mungkin tidak sekufu dari pihak dia. Terima kasih,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sebelum ini, peguam syarie mewakili Nor Hidayah, 47, Mohd Yazid Hazim, mengesahkan wanita itu memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu.

Menurut Yazid, mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.

“Sepatutnya pihak defendan (Edika) hadir hari ini, namun kami menerima surat daripada pihaknya yang menyatakan dia tidak dapat hadir atas alasan bekerja.

“Jadi, mahkamah memutuskan sebutan kes dibawa ke tarikh baharu,” ujarnya.

Ketika ditemui di mahkamah, Nor Hidayah enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dibuatnya kerana mahu mendengar kenyataan daripada pihak Edika terlebih dahulu.

Wanita itu bagaimanapun mengakui mereka sudah tidak tinggal sebumbung, tetapi enggan mendedahkan sejak bila.

Sebelum ini, kisah pasangan tersebut meraih perhatian ramai apabila Edika setia menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup sejak 2003, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI